Isnin, 13 April 2009

CABARLAH DIRI KITA UNTUK BERJAYA

Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Artikel ini telah dikeluarkan dalam Majalah Cermin, Disember 2003

Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Malah sekiranya seseorang itu telah melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu melakukannya juga. Kita mungkin tidak bercita-cita terlalu tinggi seperti Datuk Azhar Mansor yang berlayar di lautan luas seorang diri; atau seperti Datuk Abdul Malek yang berenang merentasi Selat Inggeris; atau seperti Shalin Zulkifli yang menjadi ratu bowling negara; atau seperti Yap Sui Lin yang mendapat 16A dalam SPMnya.

Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kita atau yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita nanti. Sekurang-kurangnya, kalau kita sebagai pekerja maka berusahalah untuk menjadi pekerja yang cemerlang hingga menerima anugerah dari majikan. Kalau kita seorang usahawan binalah empayar perniagaan kita yang mampu diwarisi oleh anak cucu. Kalau kita sebagai seorang pelajar belajarlah dan berusahalah hingga sampai ke peringkat yang tertinggi.

Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetapkan olehnya. Oleh itu kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri. Bagi seseorang usahawan, memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan itu adalah menepati sasaran awalnya dan baginya ia adalah satu kejayaan. Tetapi RM10,000 ini mungkin suatu kegagalan bagi usahawan yang pada kebiasaannya mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan. Apabila kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa. Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju. Oleh itu perlu bagi kita setelah mencapai satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju ketahap yang seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.


1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi

Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.

2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain

Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa.

Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita?

3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati

Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, "Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni ". Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi.


4. Soal Diri Dengan Soalan Positif

Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya:

Kenapalah aku gagal?
Mengapa nasib aku sentiasa malang?
Kenapalah orang semua tak suka aku?
Apalah nak jadi dengan aku ni?

Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan.

Apa yang belum aku lakukan lagi?
Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi?
Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini?
Siapa yang boleh bantu aku?

Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.

5. Tingkatkan 'Standard' Anda

Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan 'standard' kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak 'standard'lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak 'standard' lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak 'standard' lah selama-lamanya dapat markah 'C', 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat 'A' pula. Tidak 'standard' lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak 'standard' lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.

Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut 'standard' baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran.

Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam 'standard' yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung 'standard' tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.

Dipetik dari : [Koleksi Artikel Hangat]

Shohib Arrumi Said,
Bilik 102, Rumah Kedah Hayyu 'Asyir,
Kaherah, Mesir.
13 April 2009, 05.23 a.m.

Jumaat, 10 April 2009

Hina Islam atau 'Muslim'?

“Dia sudah melampau. Mana boleh si kafir membaca ayat al-Quran dan memperalatkannya?” bentak ‘pencinta’ Islam di dalam kenyataan akhbar dan laporan polisnya.

“Ia jelas mencabar kesucian Islam!” tokok seorang lagi.

Ada sesuatu yang saya masih belum mampu formulakan; mengapakah kaum Muslimin begitu tenang, yakin dengan kepercayaannya dan terbuka untuk dialog dan perbincangan semasa mereka menjadi kaum minoriti, sebaliknya terasa begitu terancam, tercabar, tergugat semasa mereka menjadi kaum majoriti yang memegang kuasa.

Ia suatu keganjilan.

Sepatutnya yang minoriti itu duduk dalam kekhuatiran. Rasa jati dirinya semakin terhakis, bimbang segala yang ada di sekitar mencabarnya, lalu menjadi sangat defensif terhadap agama masing-masing. Sepatutnya begitu.

Dan tatkala mereka bertindak sebagai pemerintah, berkuasa, berkuantiti sebagai majoriti, maka mereka akan rasa sangat selesa, terbuka, dan tidak fragile oleh cetusan-cetusan kejadian harian di kiri kanannya. Sepatutnya macam itu.

Tetapi realiti di Malaysia sungguh terbalik.

PERBANDINGAN LAGI

Saya tidak suka membanding-banding.

Orang tua kita sudah membuat pepatah, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik berhujankan batu di negeri sendiri!”

Tetapi orang kita jugalah yang pakar membanding-banding. Kerana banding-membanding itulah terbinanya Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, malah pernah juga Subang Parade dinobatkan sebagai pusat membeli belah terbesar di Asia Tenggara.

Daripada dibanding-bandingkan benda yang sekunder itu, lebih baik kita bandingkan soal-soal premier yang lebih kritikal.

MINORITI DI IRELAND UTARA

Terkenang kembali pengalaman saya semasa bertugas di Belfast Islamic Centre.

Kami memang kaum minoriti. Jumlah Muslim pada bulan pertama saya memulakan tugas, hanya sekitar dua atau tiga ribu orang di seluruh Ireland Utara. Tetapi menjadi kaum minoriti tidak menjadikan kami Muslim yang defensif lagi reaktif.

Kami terbuka kepada dialog. Jemputan untuk berdialog boleh dikatakan diterima setiap hari. Ada dialog dengan pelajar, ada dialog dengan rombongan yang dihantar oleh gereja. Kita dengan bebas bertukar-tukar pandangan tentang agama dan kepercayaan masing-masing, khususnya di peringkat isu-isu bersama berkaitan etika dan tanggungjawab sosial.

Kami tidak mengurung masjid di balik tembok, kesan rasa terancam kerana hidup sebagai minoriti. Sebaliknya masjid itu sentiasa terbuka. Malah kami juga sering hadir ke ruang-ruang terbuka yang disediakan di pusat bandar, untuk berjumpa dan berbicara dengan orang ramai.

“Kami dari sebuah sekolah rendah Katholik di Newry mahu melawat masjid tuan. Bilakah tarikh dan masa yang sesuai?” tanya wakil sekolah berkenaan melalui panggilan telefon.

“Saya dan rakan-rakan daripada Fakulti Kemanusiaan Open University UK mahu berjumpa dan bertukar-tukar pandangan dengan pihak Islamic Centre” tercatat demikian di sepucuk surat yang saya terima.

Permintaan-permintaan begitu datang setiap hari. Dan lazimnya kami akan cuba menyusun jadual lawatan agar mereka datang kira-kira sejam sebelum Solat Zohor. Tujuannya ialah untuk menyediakan masa sekitar satu jam untuk berdialog dan kemudian apabila masuk waktu Zohor, mereka akan dijemput ke dewan solat utama, duduk di bahagian belakang dan melihat kami menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid.

“Bolehkah orang bukan Islam masuk ke Masjid?” tanya seorang pelajar Malaysia yang baru tiba ke UK.

Soal demikian sudah lama diselesaikan. Jika non Muslim secara mutlak tidak boleh masuk ke masjid, entahlah berapa orang penduduk Semenanjung Tanah Arab yang berpeluang bertemu dengan Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tidak berlakulah kejadian Arab Badwi yang kencing di dinding masjid dan segala catatan yang lain.

Masjid adalah tempat orang mencari Islam, bukan tempat Muslim mengurung Islam.

Saya tidak banyak pengetahuan tentang Biblical Literature. Tetapi saya membaca serba sedikit mengenainya, dan saya menggunakannya untuk sempena-sempena yang sesuai terutamanya ketika sedang berdepan dengan pelawat beragama Kristian. Semasa menjelaskan tentang hak mutlaq Tuhan terhadap nyawa manusia dalam kertas kerja berkaitan Euthanasia, saya memetik keterangan Bible berikut:

“No man has authority to restrain the wind with the wind, or authority over the day of death.” [Ecclesiastes 8:8a]

Petikan itu berdiri bersama dengan petikan saya daripada keterangan al-Quran, firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

6_151

“… Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya” [al-An'aam 6: 151]

MENYAMARATAKAN?

Apakah saya menjadi penganut Bible dan mempercayainya semasa saya memetik suatu ayat daripadanya?

Jauh sekali!

Pendirian saya tentang Bible adalah sama seperti pendirian al-Quran terhadap Taurat dan Injil.

Akan tetapi saya memetik ayat dari Bible supaya hadirin yang Kristian boleh mengaitkan ceramah saya dengan rujukan mereka. Bahawa apa yang saya sebut bukan sahaja berdasarkan agama saya yang Islam, malah ia juga termaktub di dalam agama mereka. Itu sahaja.

Tujuan saya menggandingkan keduanya adalah untuk menekankan bahawa soal peranan agama dalam memelihara nyawa manusia adalah persoalan yang besar. Muslim atau Kristian mesti mempunyai tahap sensitiviti yang sama terhadap apa-apa prosedur perubatan dan bukan perubatan yang menggugat hak ini. Euthanasia bertentangan dengan peraturan agama sama ada Kristian mahu pun Islam.

Adakah saya telah menyamakan Islam dan Kristian?

Tentu sahaja tidak.

2057

Kalau Mak Senah makan sireh dan kambing Mek Yah makan sireh, apakah Mak Senah sama dengan kambing Mek Yah?

Tentu sahaja tidak!

Analogi yang sangat buruk untuk andaian seburuk itu.

Namun, titik persamaannya ialah, pokok sireh perlulah dijaga kerana Mak Senah dan kambing Mek Yah sama-sama mengambil manfaat daripadanya.

Antara Islam dan Kristian, Euthanasia tidak harus berdepan dengan apa-apa konflik dari segi penggubalan polisi di hospital jika dilihat daripada perspektif agama kerana kesemua agama bersepakat dalam menolak campur tangan manusia dalam menentukan saat kematian manusia yang lain. Itu sahaja.

Pandangan saya yang dimuatkan di dalam kertas kerja yang dibentangkan, diagihkan kepada kesemua pembentang yang lain, juga hadirin yang menyertai. Tentu sahaja saya tidak menyertakan teks Arabnya untuk mencegah daripada ayat-ayat al-Quran jatuh ke tempat-tempat yang tidak baik. Tetapi berdosakah saya membiarkan para non-Muslim dari kalangan paderi dan pelajar perubatan di The Queen’s University Belfast menggunakan ayat al-Quran dalam keadaan mereka tidak Muslim?

Bahkan saya berpandangan sebaliknya.

KES NGA KOR MING

16-90

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat ihsan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya” [al-Nahl 16: 90]

Apabila Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis daripada DAP dan beragama Kristian memetik firman Allah daripada al-Quran di atas untuk memberitahu hadirin tentang kedudukan KEADILAN dan BERLAKU IHSAN dari perspektif al-Quran, apakah ini suatu penghinaan terhadap Islam?

david_n_k_m

Nga Kor Ming salah menyebutnya? Betulkanlah sebutannya.

Bukankah kita kaya dengan guru tajwid di sana sini?

Betul sangatkah sebutan-sebutan ayat al-Quran oleh perwakilan-perwakilan parti yang Melayu dan Muslim itu? Betul sangatkah ucapan Datin-datin dan Puan Sri semasa menyebut ayat al-Quran dalam ucapan-ucapan perasmian mereka? Sepatutnya salah sebutan itu diiringi oleh usaha membetulkan sebutan, bukannya berbondong ke Balai Polis membuat laporan!

Sikap inilah yang menghairankan saya.

Terlalu defensif.

Masjid dikurung, Quran dibendung, yang lulus untuk kegunaan non Muslim hanyalah rumah-rumah terbuka pada hari perayaan Islam! Kemudian layakkah kita tertanya-tanya tentang punca Islam menjadi mandul di negara kita?

p3310016

Sila tanggalkan kasut anda di sini, dan ketahuilah di sini juga kawasan pencuri kasut! Banyak betul benda pelik di masjid-masjid kita

HINA ISLAM ATAU MUSLIM?

Soalan tadi belum berjawab. Apakah ketika seorang Ahli Parlimen beragama Kristian memetik ayat al-Quran tentang ADIL dan IHSAN sebagai asas seruannya untuk semua Muslim dan non-Muslim menolak KEZALIMAN, adalah suatu penghinaan terhadap Islam?

Saya yakin, jawapannya mudah.

Ia bukan penghinaan terhadap Islam.

Ia adalah PENGHINAAN terhadap MUSLIM. Iaitu Muslim yang mengaku Islam tetapi tidak beramal dengan Islam. Muslim yang sensitif dengan salah baca al-Quran, tetapi tidak sensitif dengan pembekuan al-Quran dari asas pemerintahan.

Nga Kor Ming ‘memang patut didakwa’.

Tetapi bukan dengan dakwaan menghina Islam.

Sebaliknya Nga Kor Ming patut didakwa kerana menghina ‘Muslim’. Muslim yang bermain-main dengan Islam. Permainan yang menjadi punca terhinanya Muslim itu sendiri, siang dan malam.

2_85

“… Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian al-Kitab dan mengingkari sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari Qiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” [al-Baqarah 2: 85]

hulagu_baghdad_1258

Jangan sampai Muslim di Malaysia jadi seperti kaum Abbasiyyin di Baghdad pada tahun 1253. Setelah nasihat-nasihat ulama’ Muslim tidak diendahkan, dan lekanya mereka dengan maksiat, akhirnya Hulagu Khan yang kafir itu ber’tazkirah’ di pintu kota Baghdad bersama bala tenteranya, “Aku adalah bencana yang dihantar oleh Tuhan kamu atas dosa yang kamu lakukan!”

Tatkala Muslim ditempelak oleh seorang kafir tentang agamanya sendiri, itulah saat-saat kehancuran mereka. Mahukah kamu beringat-ingat?

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang


SaifulIslam

Isnin, 6 April 2009

Koleksi Mutiara Kata 4

  • Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.
  • Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.
  • Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.
  • Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang.
  • Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.
  • Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.
  • Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.
  • Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia! dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.
  • Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan.
  • Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari batu. Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang lunak seperti sutera.
  • Lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam kaki.
  • Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu mengecewakan agama.
  • Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya. Dan hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya.
  • Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat.
  • Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan
  • memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.
  • Seseorang yang bijak melahirkan kata-kata selalunya disanjung sehingga ia mula bercakap kosong.
  • Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.
  • Kekayaan bukanlah satu dosa dan kecantikan bukanlah satu kesalahan. Oleh itu jika anda memiliki kedua-duanya janganlah anda lupa pada Yang Maha Berkuasa.
  • Sahabat yang tidak jujur ibarat dapur yang berhampiran. Jikalau pun kamu tidak terkena jelaganya sudah pasti akan terkena asapnya.
  • Mengapa manusia gemar mencetuskan pertelingkahan sedangkan manusia itu sendiri dilahirkan dari sebuah kemesraan.
  • Kita sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak pernah tua untuk bertaubat.
  • Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.
  • Setiap mata yang tertutup belum bererti ia tidur. Setiap mata terbuka belum bererti ia melihat.
  • Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya ayak dibuat kayu api.
  • Menulis sepuluh jilid buku mengenai falsafah lebih mudah daripada melaksanakan sepotong pesanan.
  • Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
  • Kegembiraan ibarat semburan pewangi, pabila kita me! makainya semua akan dapat merasa keharumannya. Oleh itu berikanlah walau secebis kegembiraan yang anda miliki itu kepada teman anda.
  • Esok pasti ada tetapi esok belum pasti untuk kita. Beringat-ingatlah untuk menghadapi esok yang pastikan mendatang.
  • Reaksi emosi jangan dituruti kerana implikasinya tidak seperti yang diimaginasi .
  • Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Jumaat, 3 April 2009

Dato' Siti bersama Dato' K menziarahi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

KOTA BHARU, 2 April ((Hrkh) - Penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza Taruddin hari ini melakukan kunjungan hormat terhadap Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas sekian lama menyimpan hasrat bertemu tokoh ulama tersebut.
Ketika ditemui selepas kunjungan itu beliau melahirkan rasa syukur kerana hasrat yang telah lama diidamkan akhirnya menjadi kenyataan.

"Selama ini saya hanya mengenali Tuan Guru melalui media massa sahaja tanpa bertemu secara dekat.

"Alhamdulillah Tuan Guru bersedia menerima kunjungan hormat saya dan suami. Pertemuan ini sebenarnya tiada sesuatu yang istimewa, maksudnya tiada agenda apa-apa.

"Orang kata sepanjang hidup ni nak jugalah bertemu dengan Tuan Guru kerana saya begitu menghormati beliau secara peribadi," ujarnya.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan seorang yang berpegang pada prinsip serta ajaran agama.

Pertemuan yang diadakan di Pejabat Menteri Besar berlangsung kira-kira setengah jam turut dihadiri suaminya, Dato' Seri Khalid Jiwa atau lebih dikenali dengan panggilan 'Dato' K'.

Siti Nurhaliza yang lebih mesra dengan panggilan 'Siti' mengambil peluang bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana diundang membuat persembahan pada majlis Sultan Kelantan sempena keputeraan baginda malam tadi.

Sempena kunjungan itu, Siti turut menyampaikan cenderahati kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Menteri Besar juga menyampaikan cenderahati kepada mereka.

Pada pertemuan tersebut Dato' K juga bertanya tentang kesihatan Menteri Besar yang dihidapi sebelum ini.

Sementara itu kakitangan Pejabat Menteri Besar dan pejabat berdekatan turut mengambil peluang bertemu dengan selebriti ternama itu sambil bersalam dan bergambar. - mj/mks.

Sumber : HarakahDaily

p/s : Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, kita dapat lihat selebriti No. 1 negara kali ini boleh memakai tudung yang menutupi keseluruhan rambutnya itu. Di sini juga kita dapat melihat akan keayuan sebenar yang dimiliki oleh Dato' Siti dan ianya juga hasrat yang terbuku di dalam hati Dato' Siti sendiri yang mana dia telah menyatakan akan memakai tudung setelah dia mendirikan rumah tangga. Diharapkan dan didoakan agar Dato' Siti akan kekal dengan penampilan seperti ini. Supaya ianya akan menjadikan diri Dato' Siti akan terus berada di hati para peminat dan menjadi ikon kepada Islam tambahan pula Dato' Siti juga mempunyai status "Hajjah". Diharapkan juga supaya ianya bukan bersifat HadHari (hanya mengikut hukum pada waktu2 yang tertentu sahaja).

Selain itu, dapat juga kita lihat sikap pihak media berhubung dengan lawatan Dato' Siti ini. Pihak media hanya mengambil sikap diamkan diri tanpa mengulas walaupun sepatah dua kata mengenai perkara ini. Di sini kita dapat lihat dengan jelas bahawa pihak media hanya mencari isu yang hangat dan menjamin akan mengembalikan pulangan kepada mereka. Mereka juga hanya mencari perkara-perkara yang boleh menimbulkan kotroversi kepada pihak artis dengan memperbesarkan perkara-perkara yang mengaibkan personaliti artis di mata masyarakat.

Rabu, 1 April 2009

April Fool : Antara Barat dan Keparat

“Kawan saya ni memang hidup cara Barat. Biar pun baik hatinya, tapi akhirnya bercerai juga dengan isteri. Apa nasihat yang patut diberi kepada orang macam ni, ustaz?” tanya salah seorang hadirin dalam program ceramah saya.

“Hidup cara Barat itu tidak menjadi punca masalah, jika yang dimaksudkan itu ialah bercakap bahasa Inggeris, makan makanan Eropah atau berpakaian mengikut format orang sana,” saya cuba menyuluh perspektif.

Di Barat sendiri, jumlah mereka yang memeluk Islam cukup tinggi. Jika Islam bertentangan dengan Barat, tentu sulit untuk orang Barat menerima Islam.

“Maka apa yang diperlukan oleh sahabat tuan itu, ialah meninggalkan dosa-dosa yang dianggap Barat, serta menyuntik kesedaran tentang persoalan hidup ini untuk apa. Sebagaimana yang kita bincangkan sebentar tadi,” saya menyudahkan jawapan.

Seorang Barat yang memeluk Islam, akan terus bercakap bahasa Barat, makan makanan Barat, beribu bapakan orang Barat, beradik beradikkan manusia Barat, dan terus menjadi Muslim yang tulen di Negara Barat. Apa yang ditinggalkan hanyalah bahasa carut dalam kerosakan budaya Barat, makanan haram dalam hidangan Barat, dan mengenepikan perbezaan aqidah ibu bapa dan adik beradik dalam hubungan sosial. Itu sahaja.

Seseorang boleh menjadi moden tanpa perlu menjadi Barat. Seseorang itu juga boleh menjadi Barat tanpa perlu menjadi Keparat!

BARAT DAN KEPARAT

Ya, jika ahli politik seperti Ataturk keliru di antara proses modernisasi (modernization) dengan proses pembaratan (westernization), kita pula ramai yang keliru di antara Barat dengan Keparat.

Ramai yang cuba untuk meniru kehidupan Barat berubah menjadi Keparat. Malah kerana ‘yang mengikut’ selalunya lebih teruk dari ‘yang diikut’, kita menjadi lebih Keparat dari Barat. Entah kenapa, benda yang elok-elok dari Barat tidak hendak diikut. Yang busuk-busuk dan keparat itu juga yang didambakan.

Malah yang Kristian pun ramai juga yang keliru antara Kristian dan Barat. Kristian adalah agama yang lahir di Timur, tetapi ada pula yang bertaqlid dengan agama Kristian supaya ‘menjadi Barat’, malah memperalatkan agama Kristian untuk menjustifikasikan perbuatan keparat sesetengah mereka.

Kelemahan jati diri bangsa kita yang mengkeparatkan diri untuk kelihatan Barat, menyebabkan saya hilang upaya untuk mengulas tentang budaya April Fool. Tidak perlulah dibahas-bahaskan sangat latar belakang sejarahnya, mana yang betul, mana yang salah. Huraian tentang sejarah April Fool itu sendiri pun banyak yang fool.

Jelasnya ia fool!

Terungkap pada sabda Nabi SAW:

" لتتبعن سنن من قبلكم، شبرا بشبر ذراعا بذراع، حتى لو سلكوا جحر ضب لسلكتموه.
قلنا : يا رسول الله! اليهود و النصارى؟ قال : فمن؟

“Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” - [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

My Playlist