Sabtu, 30 Mei 2009

Islamkan politik, atau politikkan Islam?

Saya sering bercakap tentang "Islamkan politik, jangan politikkan Islam". Mungkin seseorang bertanya apakah beza antara kedua-dua ini? Bezanya adalah jika kita berusaha mengislamkan politik kita memastikan tindak tanduk atau gerak kerja politik itu tidak bercanggahan dengan Islam. Juga, jika ada pengamalan politik yang belum Islamik, kita akan berusaha untuk mengislamisasikannya.

Dalam erti kata lain, Islam adalah panduan sebelum tindakan. Sementara mempolitikkan Islam adalah menggunakan Islam sebagai modal politik untuk kepentingan kuasa. Maka Islam bukan panduan tetapi sekadar alasan atau 'cop halal' yang dibuat untuk menjadikan masyarakat atau pengikut menerima sesuatu tindakan. Hasilnya, seseorang akan bertindak dalam gerak kerja politiknya tanpa terlebih dahulu melihat kepada ajaran Islam, namun apabila ia dipertikaikan, maka pendapat atau nas Islam akan digunakan untuk membela diri. Dalam erti kata lain mengislamkan politik bererti menjadikan Islam sebagai panduan. Sementara mempolitikkan Islam bererti menjadikan Islam sebagai alat atau alasan.

Maka sesiapa yang menjadikan Islam sebagai dasar atau panduan, maka dia akan bersedia menarik balik pandangan atau tindakan sekiranya dia dapati bercanggahan dengan ajaran Islam. Adapun yang menjadikan Islam sebagai alasan dan alat, dia menggunakan Islam bagi menghalalkan tindakan politiknya sekalipun ternyata salah. Dia bukan hendak mendengar dalil atau hujah syarak yang kukuh untuk diamalkan, sebaliknya dia mencari orang agama atau pendapat yang sanggup menghalalkan tindakannya sekalipun dia tahu itu pendapat yang diberikan untuk menyokongnya itu lemah dan tidak kukuh. Ini sama dengan golongan taksub dan pengikut mazhab fekah secara membuta tuli dengan tidak memperdulikan alasan dan hujah yang kukuh. Sehingga al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) mengkritik mereka ini dengan katanya: "Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata, "Kami ada sabda Nabi saw begini dan begitu". Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..." (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Kumpulan

Usaha atau sikap, samada mengislamkan politik atau mempolitikkan Islam bukan semestinya berkaitan parti atau kumpulan tetapi lebih kepada sikap individu dalam kebanyakan hal. Jika salah satu sikap itu menjadi aliran utama dalam sesebuah parti atau kumpulan, maka itu mencerminkan kecenderungan mereka yang sebenar. Untuk berpegang dan istiqamah dengan prinsip Islam dalam mengharungi politik hari ini bukanlah mudah. Namun, itulah yang patut dihayati oleh setiap kita. Dalam sejarah pertembungan Nabi Musa a.s dengan Fira'un, Fir'aun pernah mempertikaikan tindakan Musa a.s. memukul seorang warga Qibti sebelum beliau lari ke Madyan. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya) Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: "Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami". Firaun menjawab: "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?" Nabi Musa berkata: "Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang Rasul-Nya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil. (Surah al-Syu'ara: 16-22). Inilah rasul, dia mengajar kita prinsip. Dalam suasana yang sengit, Nabi Musa tetap mengakui bahawa tindakannya memukul warga Qibti itu satu kesalahan dan bukan tindakan yang berdasarkan petunjuk yang betul. Nabi Musa tidak cuba menghalalkan tindakannya demi kepentingannya, tidak sama sekali! Yang salah tetap salah. Nabi Musa a.s. menghadapi kuasa politik yang maha besar di zamannya bah paling bersejarah dalam tamadun manusia. Lebih besar dari segala perjuangan hari ini. Pun begitu, prinsip tetap prinsip. Baginda bertindak memastikan manusia menurut wahyu, bukan wahyu diputarbelitkan untuk kehendak manusia.

Dalam politik kita, amat sukar kita dapati seseorang mengakui kesilapan tindakan partinya, atau tindakannya. Berbagai alasan akan dicari demi membela dirinya atau puaknya, sekalipun dia sendiri sedar itu merupakan kesilapan atau kesalahan. Ada sanggup tergadai prinsip daripada tergadai kerusi atau jawatannya. Maka jadilah apa yang jadi. Maka kita lihat lahir suasana maki hamun, cerca mencerca dan berbagai tindakan yang kadang kala di luar dari batas kewarasan dan perbincangan yang matang.

Mengongkong

Islam bukan terlalu mengongkong politik. Politik satu bidang yang luas yang membabitkan kemaslahatan umat dan rakyat. Politik bukan satu hobi seperti main golf atau bola sepak. Politik mempertaruhkan kemaslahatan manusia. Maka tindakan dalam politik hendaklah tindakan yang membawa kemaslahatan kepada umat dan rakyat. Bukan untuk kepentingan diri dan parti.

Kemudian, perlu kita ingat, bukan semua yang berada di medan jihad itu mesti masuk syurga. Walaupun mungkin tindakannya itu kadang kala menguntungkan umat Islam, namun empunya diri jika tidak betul niat atau tindakan, atau keduanya, maka dia mungkin tidak mendapat balasan yang baik di sisi Allah sekalipun berjuang menggunakan nama Islam. Bahkan dalam hadis ada individu yang kelihatan hebat berjuang, tetapi menjadi ahli neraka. Kata Abu Hurairah r.a: "Kami menyertai Rasulullah saw dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, "Dia dalam kalangan ahli neraka". Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah saw: "Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati". Jawab baginda: "Ke neraka". Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah saw, lantas baginda bersabda: "Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasul-Nya!". Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan "jiwa yang muslim" dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam masyarakat kita, agama memang menjadi faktor penarik bagi banyak pihak. Justeru, setiap yang berjuang agama atau memperkatakan agama sebagai bahan ucapan dan tindakannya hendak bertanya diri sendiri, apakah dia memang inginkan agama, atau inginkan kuasa dengan nama agama?. Jika dia telah betulkan niatnya, dia hendaklah memastikan tindakan selaras dengan kehendak Islam, bukan menafsirkan Islam agar kelihatan selaras dengan tindakannya. Maka Islamkan politik kita, jangan politikkan Islam kita!

Sumber : [klik di sini]

Ahad, 3 Mei 2009

Bertafakurlah!!!!!

Sekadar aku keluar dan apa yang tertangkap oleh mataku, pasti aku melihat bahawa ada nikmat ALLAH atasku dari apa yang aku lihat. Dan dari sana aku memetik pelajaran untuk ku”. Abu Sulaiman Ad-Darani.

Saudaraku,
Satu dari pekerjaan syaitanadalah menimbulkan keraguan dan khayalan kosong. Keraguan dan khayalan umumnya akan mengarah kepada kekhawatiran dan putus asa dari Rahmat ALLAH S.W.T. gelisah yang tak jelas apa yang menjadi inti kegelisahan, padahal segala sesuatu yang dikhawatirkan itu belum tentu terjadi. Gundah yang tak ada asalnya, padahal peristiwa yang melahirkan kegundahan itu belum dialami. Sungguh kita kerap menjadi objek syaitan. Syaitan telah berjanji,
"Dan Demi sesungguhnya, Aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan Demi Sesungguhnya Aku akan memperdayakan mereka Dengan angan-angan kosong, dan Demi Sesungguhnya Aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan Aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". dan (ingatlah) sesiapa Yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin Yang ditaati selain dari Allah, maka Sesungguhnya rugilah ia Dengan kerugian Yang terang nyata. Surah An-nisa’ ayat 119.

Saudaraku,
Jauhilah fikiran yang tidak bermanfaat. Buanglah kekhawatiran yang tidak pada tempatnya. Campakkan khayalan kosong yang tidak jelas ujung pangkalnya itu. Keran semuanya tidak menambah apa-apa kecuali membuat kita semakin terpuruk pada jerat frustasi dan ketakutan yang tidak berdasar. Kesedihan, kekhawatiran dan ketakutan yang tidak ada hujung pangkalnya. Berasa sunyi dalam keramaian. Sedih di tengah kegembiraan. Atau bahkan, mati di tengah sejuta harapan untuk hidup. Jika kita pernah merasa suasana hati seperti itu, maka ALLAH S.W.T. memberi jawapannya:-
Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka Dengan itu mereka nampak (jalan Yang benar). Sedang saudara (pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh syaitan-syaitan itu Dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan Yang sesat lagi menyesatkan itu).” Surah Al-A’Raf ayat 201 dan 202.

Itulah jawapan dari ALLAH S.W.T..


Saudaraku yang dikasihi ALLAH S.W.T.,
Menurut Imam Al-Ghazali, dari awal segala perbuatan adalah kegiatan berfikir. Kerananya orang yang selalu berfikir panjang dan mendalam(bertafakur) akan lebih mudah melaksanakan segala ibadah dan ketatatan yang lainnya. “Jika ilmu sudah sampai di hati, maka keadaan hati akan berubah. Jika keadaan hati sudah berubah, maka perilaku keadaan badan akan berubah. Jika perbuatan mengikuti keadaan, maka keadaan mengikuti ilmu, dan ilmu mengikuti fikiran. Oleh itu fikiran adalah awal dan kunci segala kebaikan.” Abu Hamid Al-Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, IV/ 389.

Bertafakur bekan berkhayal dan berangan-angan kosong. Bukan memikirkan soal keduniaan yang tidak pernah habis. Bukan menguraskan fikiran untuk membahaskan masalah-masalah hidup yang hanya ada di DUNIA. Tetapi mengarahkan kita untuk memikirkan semua fenomena alam dan kaitan dengan keimanan. Itulah tafakur yang akan mempunyai pengaruh kepada kebersihan hati. Tafakur adalah berfikir menerawangan dan menceroboh alam DUNIA ke dalam alam AKHIRAT, dari alam ciptaan kepada Sang Pencipta. Berfikir kadang hanya terbatas kepada upaya memecahkan masalah-masalah kehidupan DUNIA, sedang berfikira dapat menerobos sempitnya DUNIA ini menuju kea lam akhirat yang luas, keluar dari belenggu material menuju alam spiritual yang tiada batas.

Oleh kerana itu, jika kita punyai hati yang selalu merenung atau bertafakur tentang ketinggian dan keagungan ALLAH S.W.T. serta memikirkan kehidupan AKHIRAT, keadaan itu akan member kemampuan kita membongkar dengan mudah niat-niat jahat yang terlintas dalam benak kita sendiri. Kita akan memiliki kepekaan dan ketajaman sebagai hasil dzikirdan tafakur yang berkesinambungan itu. Setiap kali terlintas suatu niat jahat atau buruk, maka pemikiran, perasaan dan pandangan baik kita dapat segera mengetahui dan mengendalikan diri untuk menghancurkan niat jahat atau buruk itu.

Sungguh tepat sekali apa yang diwasiatkan oleh Amir bin Abi Qais Rahimahullahu Ta’ala ‘Anhu, “Aku mendengar bukan satu kali, dua kali atau tiga kali dari sahabat Nabi S.A.W, “Sesungguhnya pelita atau cahaya keimanan itu ada pada tafakur.” Sofyan bin Uyainah juga pernah mengatakan, “Pemikiran itu adalah cahaya yang masuk ke dalam hatimu, dan mungkin bias digambarkan seperti di dalam syair: “Jika seseorang bertafakur, maka segala sesuatu ada pelajaran baginya.” (Tafsir Ibnu Kathir, 1/438).

Atau lihatlah kebiasaan bertafakur Abu Sulaiman Ad-Darani, seorang yang Shalih dari generasi Tabi’in, sehingga ia kerap dapat memetik pelajaran untuk dirinya. “Sekadar aku keluar dan apa yang tertangkap oleh mataku, pasti aku melihat bahawa ada nikmat ALLAH atasku dari apa yang aku lihat. Dan dari sana aku memetik pelajaran untuk ku”. (Tafsir Ibnu Kathir, 1/438).

Saudaraku,
Pernah ada seorang pemuda yang mengeluh akan kebekuan hatinya kepada seorang ulama’ besar, Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna. Lalu Asy-Syahid mengatakan, “Berfikirlah dan berdzikir dalam waktu senyap, saat-saat kesendirian. Munajatdan merenungi alam semesta yang sangat istimewa dan mengagumkna, kemuadian mengagungkan keindahan dan kemuliaan ALLAH S.W.T. dari alam semesta itu, kemudian menyinambungkan kegiatan seperti itu, berlama-lama memikirkan hal itu dengan menghadirkan keagungan Sang Pencipta. Menggerakkan hati, lisan terhadap semua tanda-tanda keagungan yang menakjubkan dan hikmah ALLAH S.W.T. yang sangat tinggi. Semua itu wahai saudaraku yang mulia, bertafakur akan menjadikan hatimu hidup, sinarnya akan menerangi seluruh sisi jiwa dengan keimanan dan keyakinan. Bukankah ALLAH S.W.T. berfirman di dalam Al-Quran, “Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian siang dan malam adalah tanda-tanda bagi ulul albab(orang yang berakal).” (Al-‘Aqidah Sayyid Quthb, 104).

Fikirkanlah ALLAH S .W.T. sentiasa melihat di mana sahaja kita berada. Kekuasaannya sangat dekat dengan diri kita bahkan ada di urat nyawa kita. Mungkin, meskipun sangat dekat, kita tidak dapat merasakannya. Kita sudah melakukan kesombongan dan keangkuhan yang semakin menjadi-jadi, bila kita bergelumang dengan maksiat yang menyebabkan kita menjadi semakin jauh dari ALLAH S.W.T.. Dosa kita menjadi hijab yang mengahalangi kita dari dari merasakan kebesaran ALLAH S.W.T.. Siapa yang merasakan keadaan ini?? Hanya kita sendiri. Orang lain tidak dapat menilai sejauh mana kedekatan diri kita dengan ALLAH S.W.T. kecuali hanya melihat dan menilai secara zahir. Sementara dari segi batinnya hanya ALLAH S.W.T. yang Maha Mengetahui.

Mari bersama-sama bertafakur saudaraku,
Bertafakur, apakah semua nikmat ALLAH S.W.T. itu sudah kita syukuri. Bertafakur, apakah kurniaan ALLAH S.W.T. di alam semesta ini telah menjadikan kita lebih mencintai dan mengagungkan ALLAH S.W.T sebagai Penciptanya? Bertafaku, bagaimana kehidupan kita di AKHIRAT? Bertafakurlah, bagaimana nasib kita di dalam kubur? Bertafakurlah, apakah kita akan memasuki SYURGA(Alhamdulillah) atau NERAKA(Na’uzubillahi Min Zalik)? Bertafakurlah, apakah timbangan amalan kita sudah mencukupi?

Bertafakurlah…….

Petikan dari : Mencari Mutiara Di Dasar Hati, Catatan Perenungan Ruhani. Siri Pertama.
Karangan : Muhammad Nursani.
Cetakan : Tarbawi Press.

My Playlist